Program-Program Bantuan Pendidikan Yang Belum Anda Ketahui

Program-program bantuan pendidikan di Negeri Pahang yang kemungkinan ramai lagi yang belum diketahui dikongsikan dalam artikel kali ini. Sila baca sehingga habis.

Terdapat pelbagai jenis bantuan yang disediakan dan ditawarkan kepada anak jati Negeri Pahang Daruk Makmur, program bantuan dari segi kewangan, pembiayaan pendidikan sehingga ke bantuan kesihatan.

Program-program bantuan ini boleh dimohon melalui pejabat yang berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pun Yayasan Negeri Pahang. Bantuan-bantuan yang ditawarkan juga boleh dimohon secara dalam talian melalui pautan link rasmi pihak kerajaan. Ingat dan waspada jangan sesekali terpedaya atau tertipu dengan mengakses atau klik pada halaman yang mencurigakan atau pautan yang tidak sah, untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Beberapa program bantuan dari pihak kerajaan negeri Pahang dikongsikan di bawah. Semoga pembaca dan pemohon dapat ketahui syarat-syarat kelayakan untuk memohon dan cara bagaimana untuk memohon.

Namun secara khusus, pihak Infosingkat berkongsi berkenaan bantuan biasiswa yang ditawarkan iaitu Skim Pembiayaan Biasiswa Yayasan Pahang.

Skim pembiayaan ini diwujudkan bertujuan untuk memberi pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang layak tetapi tidak berkemampuan untuk mengikuti pengajian Sekolah Rendah dan Menengah serta di Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta. Skim ini membuka lebih banyak peluang kepada golongan pelajar yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan.

BIASISWA ANAK YATIM

Program bantuan pertama yang pihak Infosingkat kongsikan adalah Biasiswa Anak Yatim.

Biasiswa Anak Yatim ini telah mula diperkenalkan sejak dari tahun 2020 dengan tujuan utama memberi peluang akses pendidikan yang sama rata kepada pelajar-pelajar anak Pahang yang terjejas. Pelajar anak Pahang yang merupakan anak yatim piatu dan miskin bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Dengan sumbangan biasiswa ini, ianya dapat membantu memperbaiki taraf hidup golongan anak yatim dalam meringankan masalah kewangan akibat kemiskinan dan tiada tempat bergantung.

Syarat Kelayakan Memohon

  1. Anak Negeri Pahang Darul Makmur seperti takrif berikut :- Pemohon, ibu dan bapa dilahirkan di Negeri Pahang Darul Makmur.
  2. Pemohon merupakan anak yatim piatu yang telah kematian ibu dan bapa serta mempunyai ramai adik beradik yang masih bersekolah.
  3. Pendapatan kasar isi rumah penjaga tergolong dalam kumpulan B40 iaitu dengan had pendapatan RM4,850 sebulan dan ke bawah.
  4. Pemohon mestilah memiliki kelulusan SPM atau STPM atau STAM semasa seperti berikut :
    a) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)- Minimum lima ( 5 ) kepujian
    b) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)- Minimum CGPA 2.50
    c) Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)- Minimum Jayyid Jiddan
  5. Diterima masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam negara sahaja secara sepenuh masa.
  6. Mempunyai sahsiah dan taraf kesihatan yang baik.

Kadar Penajaan Biasiswa

Kadar Penajaan Biasiswa adalah sebanyak RM7,000 setahun di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

BIASISWA KECEMERLANGAN MENTERI BESAR PAHANG

Bagi pelajar yang mempunyai keputusan yang sangat baik atau cemerlang di peringkat SPM, pelajar-pelajar ini amat digalakkan untuk memohon bantuan biasiswa kecemerlangan ini.

Biasiswa ini sangat berprestij. Ia yang dikenali dengan nama Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan telah diperkenalkan sejak tahun 1998 dan ditawarkan kepada pelajar-pelajar anak Pahang yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Biasiswa ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam di dalam negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Yayasan Pahang (YP) hingga ke peringkat pengajian tertinggi iaitu ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran tertakluk kepada kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Biasiswa ini ditawarkan oleh Yayasan Pahang selaras dengan matlamat jangka panjang Kerajaan Negeri Pahang untuk mewujudkan golongan pintar dan profesional dalam usaha membangunkan modal insan bertaraf dunia.

Syarat Kelayakan Pemohon

  1. Anak Negeri Pahang Darul Makmur seperti takrif berikut :-
    • Pemohon atau bapa atau ibu dilahirkan di Negeri Pahang Darul Makmur.
    • Bagi pemohon yang ibubapanya bukan Warganegara Malaysia, adalah TIDAK LAYAK MEMOHON.
  2. Mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang dan mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi serta aktif dalam kegiatan kokurikulum, kesukarelawan dan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  3. Lulus cemerlang di peringkat SPM tahun semasadengan mendapat keputusan 9A+ ke atas.
  4. Diterima masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam yang diiktiraf oleh Kerajaan dan YP (tidak termasuk program persediaan ke luar negara).
  5. Mempunyai sahsiah yang baik dan berpersonaliti unggul.
  6. Mempunyai taraf kesihatan yang baik.

Kadar Dan Nilai Anugerah

Bagi pemohon yang lulus untuk menerima bantuan biasiswa ini, kadar dan nilai anugerah yang diterima adalah seperti berikut:

  • Elaun Sara Hidup bagi Bidang Perubatan adalah RM9,240 setahun dan bagi lain-lain bidang sebanyan RM8,400 setahun
  • Elaun Buku bagi bidang Perubatan RM1,000 setahun dan lain-lain bidang RM600 setahun
  • Elaun Alat Perkakas bagi semua jenis bidang pengajian sebanyak RM500
  • Elaun Tesis bagi semua jenis bidang pengajian sebanyak RM400
  • Elaun Kertas Projek bagi semua jenis bidang pengajian sebanyak RM200
  • Elaun Komputer sebanyak RM5,000 (maksima)
  • Yuran Pengajian dapat menerima biasiswa seperti yang ditetapkan oleh institusi pengajian
  • Tambang Kapal Terbang – sekali setahun pergi dan balik untuk pusat pengajian yang berada di Sabah atau Sarawak

SKIM PELAJAR CEMERLANG YAYASAN PAHANG

Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Pahang (SPC YP) ditawarkan untuk pelajar-pelajar berprestasi tinggi dari Pahang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di bawah program skim ini, pelajar akan diberikan peluang menerima biasiswa untuk ke pengajian Matrikulasi/Asasi atau program setaraf di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bekerjasama dengan Yayasan Pahang (YP).

  1. Program Asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
    • Skim ini mula diperkenalkan pada tahun 2012. Pelajar yang berjaya terpilih di bawah skim ini akan mengikuti pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (UIAM) dalam bidang Perubatan, Farmasi dan Perbankan / Kewangan Islam dan bidang-bidang lain yang diluluskan oleh YP. Penajaan biasiswa akan diteruskan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
  2. Program Peneraju Profesional Akauntan Muda (FIA-ACCA).
    • Program ini dirangka khas mulai tahun 2016 untuk melahirkan golongan profesional di dalam bidang perakaunan dari kalangan anak Pahang. Program ini dijalankan dengan kerjasama Yayasan Pahang dan Yayasan Peneraju.
  3. Pelajar yang berjaya terpilih di bawah skim ini akan mengikuti pengajian Foundation In Accountancy (FIA) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Institusi Pengajian Tinggi yang ditetapkan oleh Yayasan Pahang dan Yayasan Peneraju.

Syarat Kelayakan Memohon

  1. Anak Negeri Pahang Darul Makmur seperti takrif berikut :-
    • Pemohon atau bapa atau ibu dilahirkan di Negeri Pahang Darul Makmur.
    • Bagi pemohon yang ibubapanya bukan Warganegara Malaysia, adalah TIDAK LAYAK MEMOHON.
  2. Mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
  3. Lulus cemerlang di peringkat SPM tahun semasa dengan mendapat keputusan A bagi semua matapelajaran yang diambil.

Kadar Nilai Biasiswa

Kadar nilai biasiswa yang diterima adalah seperti berikut.

Elaun Sara Hidup sebanyak RM5,000 setahun. Kadar tanggungan untuk bayaran Yuran Pengajian ialah seperti yang ditetapkan oleh Institusi Pengajian.

Scroll to Top