Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia Bulan Ogos

Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia Bulan Ogos 2023, terdapat beberapa pesanan yang penting berkenaan persekitaran dan kesihatan untuk kita semua.

Pesanan-pesanan yang disampaikan melalui media sosial rasmi kementerian ini mungkin ada yang belum baca atau menerima maklumat disebabkan tidak mempunyai media sosial Facebook.

Ikuti halaman yang dikongsikan oleh pihak Infosingkat.com disini. Informasi ini dikumpul dan digabungkan untuk memudahkan para pembaca.

Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia Bulan Ogos

Nyamuk Aedes

Nyamuk Aedes betina merupakan pembawa virus denggi yang memerlukan darah dan nektar untuk menyokong perkembangannya.

Nyamuk Aedes berWolbachia merupakan nyamuk Aedes yang telah disuntik dengan bakteria Wolbachia untuk merencat virus denggi yang terdapat di dalamnya. Selain itu, nyamuk Aedes berWolbachia juga tidak memudaratkan alam sekitar.

Oleh itu, orang ramai hendaklah menyokong usaha kerajaan menggunakan kaedah ini dalam usaha mengawal penularan demam denggi dalam kalangan masyarakat.

Tahukah Anda

Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia Bulan Ogos 2023

Nyamuk Aedes betina memerlukan darah untuk perkembangan telur. Namuk kedua-dua nyamuk Aedes jantan dan betina memerlukan cairan manisan (nektar) pada tumbuhan dan kelansungan hidup.

Nyamuk Aedes berWolbachia

Ketahui fakta berkaitan Nyamuk Aedes berWolbachia sebelum menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.

Pelepasan nyamuk Aedes aegypti berWolbachia merupakan satu kaedah inovatif dan mampan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk Aedes seperti denggi, zika dan chikungunya.

Nyamuk Aedes berWolbachia akan mengawan dengan nyamuk Aedes liar dan menyebarkan Wolbachia dalam populasi nyamuk Aedes di lapangan yang akan menyekat penularan demam denggi di komuniti setempat.

Oleh itu, orang ramai adalah digesa untuk mendapatkan maklumat sahih dan tepat mengenai nyamuk Aedes berWolbachia dan dapat memberi kerjasama kepada kerajaan dalam projek pelepasan nyamuk berWolbachia demi mengawal penularan virus denggi, chikungunya atau zika agar masyarakat kekal sihat.

Wolbachia merupakan bakteria yang dijumpai secara semulajadi dalam 60% hingga 70% serangga.

Bakteria Wolbachia disuntik ke dalam nyamuk Aedes aegypti merencat replikasi vidur denggi seterunya menghalang penularan virus denggi kepada manusia.

Nyamuk Aedes berWolbachia tidak diubah secara genetik serta tidak memberi kesan sampingan kepada nyamuk atau persekitaran.

Langkah Pencegahan Denggi

Untuk peringatan mesra bersama para pembaca dan pengunjung halaman ini.

Orang ramai dinasihatkan untuk melakukan aktiviti cari dan musnah sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes disekitar halaman rumah masing-masing.

Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat jika mengalami gejala denggi yang berupa demam tinggi, sakit otot/ sendi, sakit kepala, pening serta sakit pada belakang mata bagi membolehkan rawatan awal.

Mencegah lebih baik daripada mengubati

  • Pastikan tiada bekas-bekas pembiakan nyamuk Aedes atau struktur yang menakung air dipersekitaran premis.
  • Buang atau kitar semula bahan-bahan lusuh yang tidak diperlukan seperti perabot lama, akaurium terpakai, bekas makan, tong cat terpakai, baldi rosak dan sebagainya.
  • Letak bahan pembunuh jentik-jentik di bekas takungan air seperti tangki pam tandas atau kolah air.
  • Tutup rapat bekas penyimpanan air serta pastikan peralatan dapur seperti penapis air, alas pinggan dan alas pasu keadaan kering.

Rabun Mata Jangan Ambil Mudah

Penggunaan alat elektronik seperti telefon pintar dalam tempoh masa yang lama berpotensi menyebabkan anak-anak mengalami rabun pada usia yang lebih muda.

Rabun merujuk kepada ketajaman penglihatan yang kurang jelas dan kebiasaannya tahap penglihatan juga tidak normal.

Rabun boleh mempengaruhi prestasi akademik anak-anak. Malah, anak-anak dengan penglihatan yang baik menunjukkan integrasi visual-motor yang lebih baik.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengehadkan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak kepada hanya 2 jam sehari untuk mengurangkan risiko anak-anak menjadi rabun agar penglihatan mereka berada pada tahap yang optimum.

Tanda rabun dalam kalangan kanak-kanak

  1. Membaca bahan bacaan dalam jarak yang dekat.
  2. Mengecilkan mata ketika melihat bahan bacaan.
  3. Kerap menggosok mata atau mengelipkan mata.
  4. Menutup sebelah mata ketika membaca.
  5. Mengadu tidak jelas ketika membaca.
  6. Senang lupa apa yang dipelajari.
  7. Kurang fokus apabila membaca.
  8. Mengelak ketika membaca.
  9. Kerap sakit kepala.

Pesanan daripada KKM, bawa anak anda menjalani pemeriksaan mata secara berkala bagi membolehkan masalah kesihatan mata dikesan dan dirawat peringkat awal.

Jangkitan Influenza

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selesema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti:

  • kanak-kanak
  • warga tua
  • wanita mengandung
  • mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain.

Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi secara khususnya adalah amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

Gejala Influenza mula muncul selepas 1 hingga 14 hari setelah dijangkiti dengan penyakit influenza.

  • Demam
  • Selsema
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Batuk
  • Sakit badan
  • Sukar bernafas
  • Sakit perut dan cirit-birit (dikalangan kanak-kanak)

Kepada pesakit disarankan untuk dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala bagi mengelakkan komplikasi penyakit.

Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai sekiranya bergejala.

7 Langkah Bijak Mengurangkan Gula

Gula merujuk kepada bahan yang memberi rasa manis pada makanan atau minuman.

Pengambilan gula yang berlebihan boleh meningkatkan risiko obesiti seterusnya meningkatkan risiko penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung serta mendorong kepada pembentukan karies gigi.

Oleh itu, orang ramai disarankan untuk mengehadkan pengambilan makanan tinggi gula agar kekal sihat dengan menggantikannya dengan hidangan yang lebih sihat seperti buah-buahan.

  1. Minum air kosong bagi menggantikan air minuman manis seperti minuman berkarbonat, kordial atau 3 in 1.
  2. Hadkan pengambilan kuih atau kek yang manis atau bersalut gula.
  3. Baca label dan elakkan produk yang menyenaraikan gula di bahagian awal bahan ramuan.
  4. Sediakan atau masak makanan minuman sendiri dirumah agar dapat mengawal had pengambilan gula.
  5. Elakkan snek tinggi gula antara waktu makan utama dan waktu tidur.
  6. Makan buah sebagai pencuci mulut bagi menggantikan makanan bergula seperti kek, kuih dan bubur.
  7. Pilih produk rendah gula dan bebas gula.

Diharapkan pembaca mendapat maklumat berharga yang berkaitan penting untuk menjaga kesihatan diri.

Scroll to Top