Kad Diskaun Khas Menu Rahmah

Kad Diskaun Khas Menu Rahmah adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan MADANI untuk peniaga makanan yang menyediakan produk makanan dengan penawaran harga istimewa.

Langkah ini diambil oleh pihak kerajaan untuk memberikan bantuan kepada peniaga dengan menyediakan potongan harga sehingga 40% bagi pembelian barangan keperluan perniagaan.

Jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kad diskaun ini, pastikan anda terus membaca sehingga akhir artikel ini.

Kad Diskaun Menu Rahmah

Menu Rahmah adalah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan di mana pelbagai hidangan seimbang di premis tertentu akan ditawarkan dengan harga istimewa, iaitu sebanyak RM5.00.

Inisiatif ini diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama peniaga yang melaksanakannya secara sukarela. Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama dalam konteks makanan siap masak.

Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH pula merupakan inisiatif kerajaan bersama enam (6) pasar raya di Malaysia bagi membantu peniaga yang menawarkan menu RAHMAH agar kelangsungan program menu RAHMAH dapat diteruskan.

Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun sehingga 40% kepada pengusaha Menu Rahmah yang sudah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain.

Kad diskaun menu rahmah

Pasar Raya Terlibat

Enam (6) pasar raya di Malaysia yang terlibat dengan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini ialah:

  • AEONBiG
  • MYDIN
  • NSK
  • GIANT
  • LOTUS
  • ECONSAVE

Syarat Permohonan

Peniaga dan pemilik perniagaan yang berminat untuk mendapatkan kad diskaun ini, anda mestilah mematuhi syarat-syarat permohonan di bawah:

  1. Pemohon
    • Warganegara Malaysia
    • Berdaftar sebagai pengusaha Menu RAHMAH
  2. Perniagaan 
    • Status Enterprise (Semenanjung Malaysia)
    • Berdaftar dengan PBT (Sabah/Sarawak)
  3. Syarat-syarat lain
    • Tempoh pelaksanaan Menu RAHMAH sekurang-kurangnya 6 bulan
    • Menawarkan Menu RAHMAH berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan.

Cara Memohon Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH

Bagi anda yang berminat, permohonan bagi Kad Diskaun Khas ini telah mula dibuka bermula 2 November 2023 melalui portal khusus kepada pengusaha Menu Rahmah.

Untuk memohon anda perlu ke pautan https://menurahmah.kpdn.gov.my/ dan daftar sebagai pengguna dengan menekan “Daftar kad Diskaun Khas” di bahagian atas di halaman utama portal tersebut.

Maklumat Tambahan

Bagi anda yang mempunyai pertanyaan atau soalan yang ingin diajukan anda boleh hubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-8882 5881/5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.

Scroll to Top